[1] "Sesungguhnya, pada masa itu dan pada ketika itu, ketika Aku memulihkan keadaan Yehuda dan Yerusalem,
[2] maka Aku akan mengumpulkan segala bangsa dan membawa mereka turun ke Lembah Yosafat. Aku akan membangkitkan dengan mereka di sana dalam hal umat-Ku dan harta pusaka-Ku Israel, kerana segala bangsa itu telah mencerai-beraikan mereka antara bangsa-bangsa dan telah membahagi-bahagikan tanah-Ku.
[3] Mereka telah mencabut undi atas umat-Ku, menyerahkan anak lelaki demi perempuan pelacur, dan menjual anak perempuan demi air anggur agar mereka dapat minum.
[4] Apa pula urusan kamu dengan Aku, wahai Tirus dan Sidon dan seluruh wilayah Filistin? Adakah kamu mahu mengadakan pembalasan kepada-Ku? Jika kamu membuat sesuatu pembalasan atas-Ku, dengan bersegera lagi pantas akan Aku membalikkan pembalasan kamu itu kepadamu.
[5] Kamu telah mengambil perak dan emas milik-Ku, dan membawa khazanah dan harta berharga milik-Ku ke dalam kuil-kuil kamu.
[6] Kamu telah menjual bani Yehuda dan warga Yerusalem kepada pihak Yunani untuk menjauhkan mereka dari daerah mereka.
[7] Sesungguhnya, Aku akan menggerakkan mereka dari tempat ke mana kamu menjual mereka. Aku akan membalas perbuatanmu itu kepadamu.
[8] Aku akan menjual anak-anakmu lelaki perempuan kepada bani Yehuda. Mereka pula akan menjual anak-anakmu itu kepada orang Syeba, kepada sebuah bangsa yang jauh, kerana Tuhan telah berfirman."
[9] Maklumkanlah hal ini dalam kalangan bangsa: tahbiskan dirimu untuk berperang, kerahkanlah para kesateria. Biarlah semua pejuang tampil untuk mara!
[10] Tempalah mata bajakmu menjadi pedang dan pisau pemangkas kamu menjadi tombak. Biarlah orang lemah berkata, "Aku perkasa!"
[11] Bersegeralah datang, wahai segala bangsa dari segala jurusan, dan berkumpullah di sana. Bawalah para kesateria-Mu turun, ya Tuhan.
[12] "Biarlah bangsa-bangsa dikerahkan dan maju ke Lembah Yosafat, kerana di sanalah Aku akan bersemayam untuk mengadili segala bangsa dari segala jurusan.
[13] Ayunkanlah sabit kerana tuaian sudah masak. Mari, mengiriklah, kerana tempat pemerasan anggur sudah penuh. Tempat-tempat pemerasan anggur kelimpahan, kerana besarnya kejahatan mereka.
[14] Begitu ramainya, ramai sekali orang di lembah penentuan! Hari Tuhan sudah dekat di lembah penentuan.
[15] Matahari dan bulan menggelap dan bintang-bintang menghilangkan cahayanya."
[16] Tuhan mengaum bak guruh dari Sion dan memperdengarkan suara-Nya dari Yerusalem. Langit dan bumi akan bergoncang, tetapi Tuhan ialah tempat berlindung bagi umat-Nya dan benteng bagi orang Israel.
[17] "Maka kamu akan mengetahui bahawa Akulah Tuhan, Allahmu, yang bersemayam di Sion, gunung-Ku yang suci. Yerusalem akan menjadi suci dan orang asing tidak akan melintasinya lagi. Tuhan di Sion
[18] Pada waktu itu akan terjadi: gunung-gunung akan menitiskan air anggur baru dan bukit-bukau akan mengalirkan air susu. Semua alur sungai Yehuda akan mengalirkan air. Sebuah mata air akan memancar daripada Bait Tuhan lalu mengairi Lembah Sitim.
[19] Mesir akan menjadi sunyi sepi dan Edom menjadi gurun gersang yang sunyi sepi, kerana kekerasan mereka terhadap bani Yehuda, kerana mereka menumpahkan darah orang yang tidak bersalah di negeri mereka.
[20] Tetapi Yehuda akan dihuni untuk selama-lamanya, dan Yerusalem selama turun-temurun.
[21] Aku akan membalas darah mereka yang belum lagi Kubalas, kerana Tuhan bersemayam di Sion."