[1] Inilah kata-kata Yeremia anak Hilkia, salah seorang imam dari Anatot, di Tanah Benyamin.
[2] Firman Tuhan datang kepadanya pada zaman Yosia anak Amon, raja Yehuda, pada tahun ketiga belas pemerintahannya,
[3] kemudian turun lagi pada zaman Yoyakim anak Yosia, raja Yehuda, sampai akhir tahun kesebelas zaman pemerintahan Zedekia anak Yosia, raja Yehuda, ketika penduduk Yerusalem dibuang negeri pada bulan kelima.
[4] Firman Tuhan datang kepadaku demikian,
[5] "Sebelum Aku membentuk engkau dalam kandungan, Aku telah mengenal engkau, sebelum engkau keluar dari rahim, Aku telah mentahbiskan engkau. Aku telah melantik engkau sebagai nabi kepada bangsa-bangsa."
[6] Tetapi aku berkata, "Aduh, ya Tuhan Allah! Sesungguhnya, aku tidak tahu bertutur, kerana aku ini masih muda lagi."
[7] Firman Tuhan kepadaku, "Jangan katakan, 'Aku ini masih muda lagi,' kerana engkau harus pergi ke mana-mana sahaja Aku mengutusmu, dan engkau harus menyampaikan apa-apa sahaja yang Kuperintahkan kepadamu.
[8] Jangan takut kepada mereka, kerana Aku menyertai engkau dan akan membebaskan engkau," demikianlah firman Tuhan.
[9] Lalu Tuhan menghulurkan tangan-Nya dan menjamah mulutku. Firman Tuhan kepadaku, "Sesungguhnya, Aku memberitahukan firman-Ku kepadamu.
[10] Lihatlah, pada hari ini Aku melantik engkau untuk menerajui bangsa-bangsa dan kerajaan-kerajaan, untuk mencabut dan meruntuhkan, untuk membinasakan dan menggulingkan, untuk membina dan menanam."
[11] Firman Tuhan datang lagi kepadaku demikian, "Apakah yang kaulihat, Yeremia?" Jawabku, "Aku melihat sebatang dahan pokok badam."
[12] Firman Tuhan kepadaku, "Baik penglihatanmu, kerana Aku mengawasi supaya Firman-Ku terlaksana."
[13] Firman Tuhan datang kepadaku untuk kali keduanya dengan demikian, "Apa yang kaulihat?" Jawabku, "Aku melihat sebuah periuk yang mendidih. Mulutnya menghadap ke arah dari sebelah utara."
[14] Firman Tuhan kepadaku, "Dari utara akan terbit malapetaka yang menimpa seluruh penduduk negeri ini.
[15] Sungguh, Aku memanggil seluruh suku bangsa daripada kerajaan sebelah utara," demikianlah firman Tuhan. "Mereka akan datang dan mendirikan takhta masing-masing di depan pintu-pintu gerbang Yerusalem, berhadapan dengan seluruh tembok di sekelilingnya dan berhadapan dengan seluruh kota Yehuda.
[16] Aku akan menjatuhkan hukuman-Ku ke atas mereka selaras dengan segala kejahatan mereka yang membelakangi Aku. Mereka membakar dupa bagi tuhan-tuhan lain dan sujud menyembah buatan tangan mereka sendiri.
[17] Tetapi bersiaplah engkau! Sampaikanlah segera kepada mereka semua yang Kuperintahkan kepadamu. Jangan kecut hati menghadapi mereka, supaya Aku tidak membuat engkau kecut hati di hadapan mereka.
[18] Sesungguhnya, pada hari ini Aku menjadikan engkau kota yang berkubu, tiang besi, dan tembok gangsa di hadapan seluruh negeri ini – di hadapan raja-raja Yehuda, para pembesarnya, para imamnya, dan rakyat negeri ini.
[19] Mereka akan memerangi engkau tetapi tidak akan menewaskan engkau, kerana Aku menyertai engkau dan akan membebaskan engkau," demikianlah firman Tuhan.