[1] Pada hari itu menyanyilah Debora dan Barak anak Abinoam, demikian:
[2] Pujilah Tuhan, kerana pemimpin memegang teraju pimpinan di Israel dan para warganya menawarkan diri dengan sukarela,
[3] Dengarlah, wahai raja-raja! Pasanglah telingamu, ya para pemuka! Aku, ya aku juga mahu menyanyikan puji-pujian kepada Tuhan, Allah Israel.
[4] Ya Tuhan, ketika Engkau maju dari Seir, ketika Engkau mara dari daerah Edom, gempalah bumi ini dan tirislah langit, malah awan menitiskan airnya.
[5] Bergegar gunung-ganang di hadapan Tuhan, Tuhan Sinai, di hadapan Tuhan, Allah Israel.
[6] Dalam zaman Samgar anak Anat, dan dalam zaman Yael, sunyi suasana jalan raya maka para pengembara melalui jalan yang berbelit-belit.
[7] Tiada kepimpinan lagi di Israel sehingga aku, Debora, bangkit sebagai seorang ibu di Israel.
[8] Lalu mereka memilih tuhan-tuhan baru, maka terjadilah perang di pintu gerbang. Namun begitu, dalam kalangan empat puluh ribu orang di Israel tiada sebuah perisai ataupun sebilah tombak yang kelihatan.
[9] Hatiku tertuju kepada para panglima Israel, yang daripada kalangan umat ini, menawarkan diri mereka dengan sukarela. Terpujilah Tuhan!
[10] Nyanyikanlah wahai kamu, yang menunggang keldai putih, kamu yang duduk di atas ambal, dan kamu yang berjalan di jalan itu!
[11] Suara mereka mengatasi suara orang di tempat-tempat penimbaan air, ketika mereka mendendangkan kemuliaan perbuatan Tuhan yang adil, dan perbuatan baik para pahlawan-Nya di Israel. Pada waktu itu turunlah umat Tuhan ke pintu gerbang.
[12] Bangunlah, bangunlah, Debora! Bangunlah, bangunlah, nyanyikanlah suatu lagu! Bangkitlah, Barak, dan pimpinlah para tawananmu, wahai anak Abinoam!
[13] Lalu umat Tuhan, umat yang terselamat, turun sebagai pahlawan, mendatangi para bangsawan yang masih ada.
[14] Datanglah mereka, daripada suku Efraim yang berakar umbi menentang Amalek, diikuti suku Benyamin, dan daripada suku Makhir, turunlah para panglima dan daripada suku Zebulon, warga pembawa cokmar kuasa.
[15] Juga para pemimpin suku Isakhar menyertai Debora, dan seperti Isakhar, demikianlah Naftali menyertai Barak. Mereka menyusul dia dan menyerbu masuk ke lembah. Namun demikian, suku Ruben membuat banyak pertimbangan.
[16] Mengapakah engkau duduk antara kandang domba untuk mendengar siulan memanggil kawanan ternak? Dalam kalangan suku Ruben, masih banyak pertimbangan mereka!
[17] Bani Gilead terus diam di seberang Sungai Yordan; dan mengapakah bani Dan mendiami kapal-kapal? Bani Asyer pula di pesisir pantai dan kekal di dermaga.
[18] Bani Zebulon pula bangsa yang berani mempertaruhkan nyawa mereka, demikian juga bani Naftali, di tempat-tempat tinggi di padang.
[19] Raja-raja datang dan berperang. Kemudian raja-raja Kanaan berperang di Taanakh dekat mata air di Megido, tetapi mereka tidak merampas wang.
[20] Dari langit bintang-bintang yang melalui peredarannya turut memerangi Sisera.
[21] Sungai Kison menghanyutkan musuh, Kison, sungai yang terkenal dari dahulukala itu. Majulah sekuat tenaga, wahai jiwaku!
[22] Ketika itu kedengaranlah derap kaki kuda yang dipacu.
[23] "Kutuklah kota Meros," sabda Malaikat Tuhan, "kutuklah habis-habisan penduduknya, kerana mereka tidak datang sebagai pahlawan demi membantu Tuhan untuk memerangi musuh."
[24] Diberkatilah Yael, isteri Heber, orang Keni itu, melebihi perempuan-perempuan lain, dan diberkatilah dia melebihi perempuan-perempuan di dalam khemah.
[25] Air diminta orang itu, tetapi susu diberikannya; di dalam cawan yang indah dan disajikannya dadih.
[26] Tangannya dihulurkan untuk mengambil pancang khemah dan tangan kanannya mengambil tukul tukang lalu dia menukul serta menghancurkan kepala Sisera setelah diremukkan dan ditembusinya pelipis Sisera.
[27] Dekat kakinya orang itu rebah, tewas tergolek. Pada kakinya orang itu tunduk, rebah tewas dan musnah.
[28] Dari jendela, ibu Sisera menjenguk dan berseru, "Mengapakah ratanya tidak kunjung datang? Mengapakah derap kuda ratanya belum kedengaran?"
[29] Yang paling bijak antara puterinya menjawabnya, dan dia sendiri juga mengulang sebut kata-katanya itu,
[30] "Bukankah mereka mendapat jarahan dan membahagi-bahaginya, gadis seorang dua untuk setiap pahlawan. Rampasan kain berwarna sehelai dua untuk Sisera, kain sulaman aneka warna sehelai dua untuk leher para penjarah?"
[31] "Demikianlah semoga binasa semua musuh-Mu, ya Tuhan! Tetapi orang yang mengasihi-Nya semoga bagaikan matahari terbit dalam kemegahannya." Lalu amanlah negeri itu selama empat puluh tahun.