[1] Inilah yang diperlihatkan Tuhan Allah kepadaku: Lihatlah Dia sedang membentuk kawanan belalang ketika semaian terakhir mulai tumbuh, iaitu penumbuhan semaian terakhir sesudah disabit bahagian bagi raja.
[2] Setelah kawanan itu selesai memakan semaian yang tumbuh di tanah, aku pun berkata, "Ya Tuhan Allah, semoga Engkau mengampuni Israel! Bagaimanakah Yakub dapat bertahan? Dia begitu kecil!"
[3] Maka Tuhan pun berbelas kasihan atas hal itu. "Itu tidak akan terjadi," firman Tuhan.
[4] Inilah yang diperlihatkan Tuhan Allah kepadaku: Lihatlah Tuhan Allah sedang memanggil renjisan api untuk menjalankan hukuman. Kemudian api itu memakan habis samudera raya dan memakan habis tanah ladang.
[5] Lalu aku berkata, "Ya Tuhan Allah, semoga Engkau hentikanlah! Bagaimanakah Yakub dapat bertahan? Dia begitu kecil!"
[6] Maka Tuhan pun berbelas kasihan atas hal itu. "Itu pun tidak akan terjadi," firman Tuhan Allah.
[7] Inilah yang diperlihatkan-Nya kepadaku: Lihatlah Tuhan hadir di sisi sebuah tembok yang tegak lurus dengan tangan-Nya memegang batu ladung.
[8] Firman Tuhan kepadaku, "Apa yang kaulihat, Amos?" Jawabku, "Batu ladung." Firman Tuhan, "Sesungguhnya, Aku akan memasang batu ladung di tengah-tengah umat-Ku Israel, dan Aku tidak akan mengampuni mereka lagi.
[9] Akan tandus kesepianlah segala bukit pemujaan Ishak dan tempat-tempat suci Israel akan menjadi puing-puing. Aku akan bangkit melawan keluarga Yerobeam dengan pedang."
[10] Lalu Amazia, imam di Betel, menghantar perutusan ini kepada Yerobeam raja Israel, "Kini Amos bersekongkol melawan tuanku di tengah-tengah keturunan kaum Israel. Negeri ini tidak sanggup lagi menanggung segala ucapannya.
[11] Maka balaslah Amos, 'Yerobeam akan mati di hujung pedang dan orang Israel pasti dibuang dari bumi mereka.' "
[12] Lalu Amazia berkata kepada Amos, "Wahai pelihat, pergilah! Nyahlah ke Tanah Yehuda! Carilah nafkah di sana dan bernubuatlah di sana!
[13] Jangan lagi bernubuat di Betel, kerana ini tempat suci raja, bait suci kerajaan."
[14] Jawab Amos kepada Amazia, "Aku ini bukan nabi, dan juga bukan seorang anak nabi. Aku penternak dan pemelihara pokok ara.
[15] Namun demikian, Tuhan mengambilku daripada pekerjaan menggiring kawanan domba dan Tuhan berfirman kepadaku, 'Pergilah, bernubuatlah kepada umat-Ku Israel.'
[16] Sekarang, dengarlah firman Tuhan. Engkau berkata, 'Jangan bernubuat menentang Israel dan jangan bertutur menentang keturunan kaum Ishak.'
[17] Oleh sebab itu beginilah firman Tuhan, 'Isterimu akan menjadi perempuan sundal di kota, sedangkan anak-anakmu baik lelaki mahupun perempuan akan tewas oleh pedang. Tanahmu akan dibahagi-bahagi dengan menggunakan tali pengukur, sedangkan engkau sendiri akan mati di tanah yang najis, dan orang Israel pasti dibuang dari bumi mereka.' "