[1] Daripadaku, seorang tua-tua, Kepada puan yang terpilih dan kepada anak-anaknya, yang kukasihi dalam kebenaran. Bukan aku sahaja yang mengasihimu malah sekalian yang mengenal kebenaran –
[2] kerana kebenaran ada dalam diri kita dan akan kekal dalam diri kita selama-lamanya:
[3] Semoga kasih kurnia, belas kasihan dan damai sejahtera daripada Allah Bapa dan Yesus Kristus, Anak daripada Bapa, menyertai kita dalam kebenaran dan kasih.
[4] Aku sungguh sukacita mengetahui bahawa sebilangan anak puan hidup mengikut kebenaran, sebagaimana yang diperintahkan kepada kita oleh Bapa.
[5] Sekarang, puan yang dikasihi, aku memohon agar kita kasih-mengasihi. Aku bukannya mengemukakan perintah baru. Perintah ini telah disampaikan dari mula-mulanya lagi.
[6] Inilah kasih, iaitu mengasihi bermakna hidup mengikut perintah Allah. Inilah perintah yang kamu dengar dari mulanya: Kamu haruslah kasih-mengasihi.
[7] Ramai penipu telah menjelajah ke seluruh dunia. Mereka itu tidak mengakui bahawa Yesus Kristus telah datang ke dunia sebagai manusia. Orang sedemikian ialah penipu dan dajal, penentang Kristus.
[8] Oleh yang demikian, berhati-hatilah supaya apa yang telah kami usahakan tidak lenyap begitu sahaja, melainkan kamu mendapat ganjaranmu sepenuhnya.
[9] Sesiapa yang tidak mengikut ajaran Kristus dan melanggarnya, maka Allah tidak ada dalam dirinya. Sesiapa yang mengikut ajaran itu maka Bapa dan Anak ada dalam dirinya.
[10] Oleh itu, jika sesiapa datang menyebarkan ajaran selain ajaran Kristus, janganlah alu-alukan dia ke dalam rumahmu. Janganlah berikan salam kepadanya.
[11] Sesungguhnya, jika sesiapa memberi salam kepada orang sedemikian, berertilah dia bersubahat dengannya melakukan perbuatan yang durjana.
[12] Ada banyak lagi yang ingin kusebutkan, namun lebih eloklah tidak melalui dakwat dan kertas. Aku berharap akan bertemu dan berbincang denganmu agar kita benar-benar gembira.
[13] Anak-anak kepada saudara perempuan puan yang telah dipilih oleh Allah juga berkirim salam kepada puan.