Skip to content
Opens in a new window
Listen to this chapter • 4:28

[1] Apabila Samuel sudah tua, dia melantik anak-anaknya untuk menjadi hakim kepada orang Israel.

[2] Anaknya yang sulung bernama Yo'el, dan yang kedua Abia. Mereka menjadi hakim di Bersyeba.

[3] Namun begitu, pekerti mereka bukan sahaja tidak seperti bapa mereka, malahan mereka tidak hidup mengikuti jejaknya. Mereka menyimpang demi mengejar laba dan mereka menerima rasuah serta memutarbalikkan keadilan.

[4] Kemudian semua tua-tua Israel berkumpul lalu datang menghadap Samuel di Rama.

[5] Kata mereka kepadanya, "Sesungguhnya, tuan sudah tua dan anak-anak tuan tidak hidup mengikuti jejak tuan. Sekarang, lantiklah bagi kami seorang raja untuk memerintahkan kami seperti semua bangsa lain."

[6] Tetapi Samuel amat tidak senang apabila mereka berkata, "Berikanlah kepada kami seorang raja untuk memerintah kami," lalu berdoalah dia kepada Tuhan.

[7] Kemudian Tuhan berfirman kepada Samuel, "Tunaikanlah segala permintaan umat itu kepadamu. Mereka bukannya menolak engkau tetapi mereka menolak Aku kerana tidak mahu Aku bertakhta atas mereka.

[8] Sebagaimana mereka memperlakukan Aku sejak Aku memimpin mereka keluar dari Mesir bahkan sampai hari ini, iaitu meninggalkan Aku dan beribadat kepada pelbagai tuhan lain, demikian jugalah mereka memperlakukan kamu.

[9] Oleh itu, tunaikanlah permintaan mereka, hanya peringatkanlah mereka dengan sungguh-sungguh dan beritahu mereka apa yang menjadi hak raja yang kelak memerintah mereka."

[10] Maka Samuel menyampaikan seluruh firman Tuhan kepada khalayak orang yang meminta kepadanya seorang raja.

[11] Katanya, "Inilah hak raja yang akan bertakhta atas kamu: dia akan mengambil anak-anak kamu untuk ditugaskan kepada ratanya dan sebagai pasukan berkudanya, lalu mereka harus berlari di depan ratanya.

[12] Akan diangkatnya sesetengah mereka untuk menjadi pemimpin pasukan seribu dan pemimpin pasukan lima puluh. Sesetengah mereka terpaksa membajak tanahnya, menuai tuaiannya, dan membuat senjata-senjata serta peralatan segala ratanya.

[13] Akan diambilnya anak-anak perempuanmu untuk menjadi pembuat rempah, tukang masak, dan pembuat roti.

[14] Dia pun akan mengambil hasil yang terbaik dari ladang-ladangmu, kebun-kebun anggurmu, dan kebun-kebun zaitunmu lalu memberikannya kepada para pegawainya.

[15] Selain itu, dia akan mengambil sepersepuluh daripada hasil benihmu dan kebun anggurmu, lalu memberikannya kepada para pegawai istana dan pembantunya.

[16] Akan diambilnya para hambamu baik yang lelaki mahupun yang perempuan, para pemudamu yang terbaik, dan keldaimu, lalu menggunakan semua itu untuk urusannya sendiri.

[17] Akan diambilnya juga sepersepuluh daripada kawanan dombamu, dan kamu akan menjadi hamba-hambanya.

[18] Pada waktu itu kamu akan berteriak mengadu fasal rajamu yang telah kamu pilih itu, tetapi Tuhan tidak akan menjawab kamu pada waktu itu."

[19] Namun umat itu tidak mahu mendengar kata-kata Samuel. Kata mereka, "Tidak! Kami tetap mahukan raja yang memerintah kami,

[20] supaya kami juga menjadi seperti semua bangsa lain. Raja kami itu akan memerintah atas kami, maju memimpin kami, dan berperang dalam peperangan kami."

[21] Samuel mendengar segala yang dikatakan bangsa itu lalu menyampaikannya kepada Tuhan.

[22] Firman Tuhan kepada Samuel, "Dengarlah kata-kata mereka dan lantiklah seorang raja bagi mereka." Kemudian Samuel berkata kepada orang Israel, "Pulanglah masing-masing ke kotanya."

1 Samuel — Chapters