Skip to content
Opens in a new window
Listen to this chapter • 1:54

[1] Apa yang telah wujud sejak mulanya, yang telah kami dengar, yang telah kami lihat, dan yang telah kami sentuh dengan tangan – itulah yang kami beritakan tentang Firman yang memberi hidup.

[2] Hidup itu telah ditunjukkan; kami telah melihat, dan memberikan kesaksian, serta memberitahumu tentang hidup kekal bersama Bapa yang telah ditunjukkan kepada kami.

[3] Kami memberitahumu apa yang telah kami lihat dan dengar, supaya kamu juga dapat bersaudara dengan kami. Sesungguhnya, kami hidup dalam keakraban dengan Bapa dan Anak-Nya Yesus Kristus.

[4] Kami menulis tentang segala ini kepadamu supaya kebahagiaanmu sempurna.

[5] Inilah perutusan yang telah kami dengar daripada-Nya dan sampaikan kepadamu: Allah itu cahaya; dan sama sekali tiada kegelapan dalam-Nya.

[6] Sekiranya kita mengatakan bahawa kita hidup dalam keakraban dengan-Nya sedangkan kita melangkah dalam kegelapan, maka kita berdusta dan tidak mengamalkan kebenaran.

[7] Tetapi jika kita melangkah dalam cahaya, sebagaimana Allah wujud dalam cahaya, maka benar-benarlah kita hidup dalam persaudaraan satu sama lain, dan darah Yesus, Anak-Nya, menyucikan kita daripada segala dosa.

[8] Sekiranya kita mengatakan bahawa kita tidak berdosa, kita menipu diri kita sendiri dan kebenaran tidak ada dalam diri kita.

[9] Tetapi jika kita mengakui dosa kita kepada Allah, Dia akan menepati janji-Nya dan berlaku adil. Dia akan mengampunkan dosa kita dan menyucikan kita daripada segala kesalahan.

[10] Namun sekiranya kita mengatakan bahawa kita tidak pernah berdosa, kita menuduh Allah itu pendusta, dan firman-Nya tidak ada dalam diri kita.

1 Yohanes — Chapters