APAKAH ITU STEM?
Pendidikan STEM adalah berasal daripada singkatan SMET iaitu Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi.
Kemudian, National Science Foundation (NSF) meringkaskan pula kepada STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) bagi memudahkan penyebutan dan memantapkan maknanya bagi setiap elemen.
Dalam konteks Malaysia, STEM merujuk kepada dasar pendidikan dan pilihan kurikulum sekolah untuk meningkatkan daya saing dalam bidang sains serta teknologi kepada pelajar.
Ini termaktub dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 (PPPM 2013-2025) yang menekankan pendidikan STEM di peringkat sekolah melalui aktiviti kurikulum dan kokurikulum dengan sokongan menerusi pelbagai pihak berkepentingan.
Pensyarah Kanan, Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Sekitar, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Dr Shahiron Shahidan berkata, pendidikan STEM menjadi keutamaan kepada pihak sekolah dan universiti ke arah memartabat serta memperkukuhkan bidang terbabit kepada generasi muda.
Katanya, pendidikan STEM juga menekankan konsep berpandukan komponen 4C atau 4K iaitu komunikasi, kerjasama, kreativiti dan pemikiran kritikal seperti yang terkandung di dalam pembelajaran abad ke-21 (PAK-21) serta kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT).
Pembangunan komponen ini dilihat dapat melahirkan generasi muda yang mempunyai kemahiran tinggi dalam menyelesaikan masalah kompleks.
“Dalam mendepani cabaran Industri 4.0, generasi muda khususnya perlu menguasai bidang STEM. Ini adalah bagi melahirkan modal insan yang mahir di dalam bidang teknologi masa hadapan yang menjadi teras dalam Industri 4.0.
“Dunia kini berdepan Industri 4.0 yang memerlukan generasi berpengetahuan tinggi dan berkeupayaan menghadapi cabaran teknologi baharu lebih kompleks. Dunia VUCA juga memerlukan generasi yang berdaya tahan dan bukan saja menjadi pengguna teknologi, malah memulakan atau mencetuskan teknologi,” katanya.
Katanya, jika STEM bukan menjadi aspirasi, negara akan berterusan menjadi pengguna teknologi dan keadaan ini sangat merugikan.
STEM juga mesti dilihat dari sudut positif untuk memudahkan kehidupan masyarakat. Pelbagai penciptaan baharu dapat dihasilkan menerusi penerokaan STEM, tanpa melupakan aspek akal budi yang juga teras ketamadunan bangsa.
Menurutnya, hari ini pelaksanaan STEM dilihat berada pada gelombang kedua apabila kerajaan, badan berkanun, persatuan, badan bukan kerajaan (NGO) dan agensi luar bekerjasama dalam mempromosikan STEM kepada komuniti.
“Melalui kerjasama ditunjukkan, pendidikan STEM ini dilihat bakal melahirkan generasi muda yang memiliki intelektual tinggi dalam bidang sains dan teknologi. Sekali gus berupaya memacu ekonomi negara dan menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi.
“Sebagai contoh, kewujudan pelbagai saluran misalnya menerusi Young Scientists Network - Akademi Sains Malaysia (YSN - ASM) sebagai medium dalam menyalurkan suara generasi muda dengan pelbagai idea baharu ke arah menjayakan agenda STEM negara.
“Pelbagai kegiatan berimpak tinggi dilaksanakan seperti ‘Science Cafe,’ ‘National Science Challenge,’ ‘Science Education’ dan banyak lagi bagi memberikan lebih peluang untuk STEM sentiasa dekat di hati komuniti, khususnya golongan muda,” katanya.
Usaha memperkasa budaya STEM dalam kalangan generasi muda, media dan teknologi mesti dimanfaatkan sepenuhnya. Lebih-lebih lagi kini generasi muda begitu rapat dengan teknologi.
Katanya, sejarah yang meletakkan sempadan minda bahawa STEM ini pembelajaran sukar perlu dikikis bagi mengelakkan mereka terus menjauhi bidang ini.
“Filem dan dokumentari berkisar STEM khususnya dalam bahasa Malaysia perlu diperbanyakkan bagi membolehkan semua peringkat generasi muda di pelbagai kedudukan geografi di Malaysia mendapat manfaatnya.
“Badan korporat dan individu berkepentingan juga boleh memainkan peranan membantu hal ini dengan menjadikan STEM sebagai agenda berdasarkan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing. Menerusi kaedah ini, skop akan menjadi lebih tertumpu dan ramai generasi muda dapat dibantu,” katanya.
Pelaksanaan STEM tidak hanya kepada golongan muda, tetapi institusi pendidikan seperti sekolah dan universiti perlu memainkan peranan.
“Berdasarkan buku Panduan Pelaksanaan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di dalam pembelajaran dan pengajaran (P&P), elemen STEM dalam Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR), Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) dan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) sudah termaktub dengan jelas.
“Kini, lebih utama ialah pelaksanaannya mesti lebih menyeluruh, tersusun dan ‘dicerap’ hasilnya supaya keberkesanannya dapat dibuat selain tindakan penambahbaikan berterusan,” katanya.
Malah beliau berkata, pihak universiti seharusnya memainkan peranan ke arah pembudayaan STEM.
“Di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) misalnya, pelbagai aktiviti STEM kepada komuniti dan generasi muda khususnya pelajar sekolah menengah serta rendah dianjurkan,” katanya.